Bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, 7 Tertuduh Dilepas, Bebas Tuduhan Bunuh Pemandu E-Hailing

Semua tertuduh dibawa keluar dari bilik bicara Mahakmah Tinggi Tawau yang berhenti rehat pada sesi pagi, semalam.

TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan semua lapan tertuduh termasuk bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain daripada dakwaan membunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, 61.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Tawau Datuk Duncan Sikodol, selepas mendengar permohonan Khairul Azreem Mamat untuk pihak pendakwaan tidak meneruskan pendakwaan ke atas semua tertuduh, susulan perkembangan baharu pada hari kelapan perbicaraan hari ini.

Permohonan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah itu dibuat susulan saksi utama pendakwaan yang juga saksi ke-23, Nurimah Juli, 35, mengaku membunuh Nurman di Jalan Anjur Juara di Batu 5 Jalan Apas, kira-kira jam 8 malam pada 13 Januari tahun lalu.

Selain Mat Zaki, tertuduh lain terdiri enam anggota polis dan seorang awam iaitu Rosdi Rastam, 45; Denis Anit, 45; Fabian Rungam, 44; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 40; John Kennedy Sanggah, 44, dan Vivien Fabian, 34.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mat Zaki, 59, pula berdepan dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Pada prosiding hari ini, Nurimah semasa pemeriksaan utama memberitahu mahkamah dia menikam mangsa menggunakan gunting yang diambil dari begnya ketika bergaduh dengan bekas suaminya itu di dalam kereta Perodua Myvi di lokasi kejadian.

Nurimah turut memaklumkan tiada sesiapa berada di lokasi kejadian ketika itu kecuali dia dan mangsa.

Terdahulu, peguam Datuk Ansari Abdullah yang mewakili Rosdi selaku tertuduh pertama memohon mahkamah membebaskan dan melepaskan anak guamnya selepas semua 23 saksi pendakwaan dipanggil dan mereka sudah berada dalam tahanan genap setahun.

Peguam Datuk Ram Singh juga memohon perkara sama apabila pihak pendakwaan memutuskan tidak meneruskan pendakwaan kes ke atas anak guamnya, Mat Zaki, John, Vivien, Khairul Azman dan Mohd Azlan.

Turut membuat permohonan sama peguam Luke Ressa Balang dan Mohamed Zairi Zainal Abidin terhadap anak guam masing-masing iaitu Dennis Ak Enit dan Fabian Ak Rungan.

Duncan kemudian memerintahkan semua tertuduh dilepas dan dibebaskan dengan semua tarikh perbicaraan yang diputuskan sebelum ini dibatalkan, selepas mendengar keputusan pasukan pendakwaan untuk tidak meneruskan pendakwaan.

Sementara itu, suasana dalam dan luar mahkamah bertukar riuh dengan tangisan kegembiraan dalam kalangan keluarga tertuduh dan peguam.

Mereka berpelukan sesama sendiri dan menangis kegembiraan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *