Lelaki Tempatan Memandu Mabuk Dipenjara Tujuh Hari, Denda RM10,000

TAWAU: Seorang lelaki tempatan dihukum penjara tujuh hari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol pada 25 Disember tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Saiful Masmudding, 27, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.  

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 2 pagi di Jalan St Patrick, sebagai pemandu kenderaan.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara tujuh hari jika gagal membayar denda dan lesen memandu digantung selama dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Joan Lee dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi sebagai pengajaran dan keinsafan kepada diri tertuduh.

Katanya, hukuman berat itu mengambil kira kepentingan awam dan banyak risiko yang akan berlaku akibat memandu dalam keadaan mabuk.

“Kes mabuk di Tawau juga semakin meningkat, oleh itu hukuman yang lebih tinggi dapat memberi kesedaran serta peringatan kepada tertuduh dan pemandu lain,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *