3 Lelaki Ditahan Cuba Seludup Syabu Bernilai RM1 Juta

Ketua Polis Semporna Mohd Farhan Lee Abdullah menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media.

SEMPORNA: Polis menggagalkan cubaan tiga lelaki menyeludup keluar lebih 20kg dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM1 juta dalam serbuan di Jeti Umum Semporna, 3 Jan lalu.

Ketua Polis Semporna, Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata dua lelaki tempatan serta seorang warga asing berumur antara 36 hingga 38 tahun itu ditahan anggota Balai Polis Bum Bum serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Semporna yang menjalankan pemerhatian pada 6.30 pagi.

“Ketika kejadian tiga lelaki dalam bot dari arah laut dilihat merapat ke tebing batuan bersebelahan jeti umum dan seorang daripadanya naik ke darat. Selang beberapa minit, lelaki terbabit membawa dua bagasi dan kembali menuju ke arah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Lelaki yang membawa bagasi bertindak terjun ke laut selepas menyedari kehadiran polis, seorang lagi lelaki berlari ke arah tebing berbatuan manakala seorang lagi cuba melarikan diri dengan menghidupkan enjin bot, namun semuanya berjaya ditahan,” katanya pada sidang media.

Farhan berkata, pemeriksaan terhadap dua bagasi itu menemukan 20 bungkusan plastik hitam mengandungi ketulan mampat hablur jernih disyaki syabu seberat 20,227.42g dan dadah dipercayai untuk edaran di negara jiran.

“Suspek cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan modus operandi menggunakan jeti umum pada awal pagi kerana ketika ini lokasi itu sibuk dengan ramai pelancong yang mahu melakukan ‘island hopping’ atau masuk ke resort di pulau peranginan, selain orang tempatan yang mahu ke pulau-pulau kampung mereka.

“Jadi mereka guna kawasan ini dengan harapan tidak disedari sesiapa, dan pihak polis berterima kasih dengan maklumat orang awam sehingga tertangkapnya kesemua suspek,” katanya menambah ketiga-tiga lelaki berkenaan positif syabu.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan menolak kemungkinan semua lelaki terbabit mempunyai rakan subahat di kawasan daratan kerana ketika itu merupakan waktu sibuk di jeti berkenaan dengan keadaan kereta diletakkan bersilang.

Farhan meminta orang ramai yang memiliki maklumat berhubung kes itu menyalurkan kepada polis dengan menghubungi talian 089 782020 atau pegawai penyiasat kes Adzilee Suili menerusi 014 8665087.

Katanya, siasatan juga tidak menunjukkan sebarang kaitan suspek dengan sindiket dadah pengedaran syabu terbesar di Sabah yang didedahkan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *