PKP Hanya Babit Kawasan Perairan Esszone, Bukan Daratan

Komander Esscom, Victor Sanjos berkata, PKP Esszone hanya berkuat kuasa di kawasan perairan melebihi jarak tiga batu nautika ke atas atau membawa ke persempadanan antarabangsa dari 6 petang hingga 6 pagi.

SEMPORNA: Perintah kawalan pergerakan (PKP) Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang dijenamakan semula daripada perintah berkurung sebelum ini, hanya melibatkan perairan dan bukan kawasan daratan.

Komander Eastern Sabah Security Command (Esscom), Victor Sanjos berkata, ia perlu dijelaskan susulan kegusaran khasnya dalam kalangan masyarakat luar dan pelancong asing yang keliru kerana PKP itu disalah tafsir turut berkuat kuasa di kawasan daratan.

“Saya ingin mengambil ruang ini untuk membetulkan persepsi pihak luar terhadap pengoperasian PKP Esszone ini yang dikuatkuasakan oleh polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ia (berkuat kuasa) di kawasan perairan melebihi jarak tiga batu nautika ke atas atau membawa ke persempadanan antarabangsa dari 6 petang hingga 6 pagi,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau meminta rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, membantu Esscom dan polis membetulkan kekeliruan itu supaya sektor pelaburan asing serta industri pelancongan di Esszone dapat ditingkatkan lagi, sekali gus mensejahterakan ekonomi masyarakat setempat.

Ketua polis negara dalam kenyataan Oktober lalu memaklumkan perintah berkurung Sabah tamat pada 6 petang 17 Okt dan dilanjutkan sebagai PKP Esszone Sabah oleh menteri dalam negeri di bawah Seksyen 31(4) Akta Polis 1967.

Perintah Berkurung di Esszone yang diisytiharkan mulai 19 Julai 2014 dan tamat pada siri ke-220 pada 17 Okt lalu, merupakan mekanisme pemantauan serta kawalan pasukan keselamatan iaitu polis, Maritim dan ATM terhadap pergerakan bot atau kapal digunakan penduduk setempat, pelaut, pelancong serta komuniti maritim di perairan Sabah berlandaskan Akta Polis 1967.

Mengulas PKP Esszone, Victor berkata, ia dilihat memberi perkembangan positif kepada keberkesanan koordinasi operasi keselamatan, selain membantu usaha mengubah persepsi masyarakat luar dan pelancong asing untuk mengunjungi pusat pelancongan di kawasan itu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan Esscom bersama polis, ATM dan Maritim di Esszone dalam mengekalkan rekod sifar insiden penculikan sejak 15 Jan 2020.

“Sejak 2000 hingga 2020, 25 kes penculikan berlaku di Esszone, namun trend itu mulai berubah apabila Esscom mengkoordinasikan Operasi Sanggah dan pelbagai operasi khas bersama pasukan keselamatan di Esszone khasnya.

“Hasil usaha berterusan itu, kita berjaya menumpaskan sel kumpulan Abu Sayyaf dan penculikan untuk wang tebusan dengan 17 orang ditembak mati, manakala 23 lagi ditangkap,” katanya sambil menambah 16 kes cubaan menculik dipatahkan sejak 10 tahun lalu.

Victor berkata, keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di Esszone turut kekal terjamin melalui operasi bersepadu dari semasa ke semasa tahun ini.

Setakat 23 Nov lalu, katanya, Esscom mengkoordinasi lebih 2.2 juta pemeriksaan fizikal terhadap orang, kenderaan dan bot dengan 512 orang ditahan, manakala 150 kenderaan serta bot dirampas atas pelbagai kesalahan.

Selain itu, 215 pendatang diusir, melibatkan 88 kapal atau bot dari sempadan negara.

Bagi kes penyeludupan, katanya, jumlah keseluruhan nilai rampasan untuk tempoh sama juga melebihi RM17.5 juta dan nilai rampasan tertinggi daripada penyeludupan rokok serta barang kawalan sebanyak RM14.3 juta.

“Selain itu, nilai rampasan dadah dan barang milik pendatang menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM3.3 juta.”

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *