Polis Nafi Berlaku Kes Culik Di Beluran

Tangkap layar daripada video yang memaparkan kejadian terbabit.

BELURAN: Polis menafikan rakaman video tular yang didakwa berkaitan dengan kes culik di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) ke Sapi Nangoh, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, video berdurasi 18 saat itu memaparkan sebuah kenderaan cuba mengelak dalam pemeriksaan polis.

“Ketika kejadian, kereta berkenaan bertindak melarikan diri menuju ke arah Kota Kinabalu semasa pemeriksaan sedang dijalankan di RCP Sapi Nangoh sebelum berjaya ditahan pihak polis.

“Suspek yang menaiki kereta berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan kemudiannya cuba melarikan diri daripada sekatan jalan ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Kasim berkata, suspek kemudian berjaya diberkas pada hari yang sama di tempat kejadian selepas suspek berpatah balik untuk menyerah diri.

“Tangkapan yang dilakukan kira-kira jam 5 petang itu turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya,” katanya.

Tambahnya, suspek turut dipercayai mengambil dadah dan ujian saringan air kencing akan dijalankan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *