Polis Rancang Tubuh 3 Batalion Baharu Kawal Sempadan Sabah, Sarawak

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah berkata penambahan batalion itu bagi memperkasa kawalan sempadan dua negeri itu.

KUALA LUMPUR: Polis merancang mewujudkan tiga batalion baharu bagi memperkasakan kawalan keselamatan sempadan di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, berkata ia melibatkan dua batalion di Sabah dan satu di Sarawak.

“Tahap kawalan keselamatan di Sabah dan Sarawak, khususnya di sempadan Kalimantan (ketika ini) berada pada tahap maksimum melalui penempatan 73 pos kawalan keselamatan di bawah kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Selain itu, polis melalui PGA turut menjalankan operasi secara berterusan seperti Op Taring, Op Awas, dan Op Batas,” katanya menjawab soalan Senator Paul Igai mengenai langkah kerajaan sekiranya berhasrat mengembalikan semula Pasukan Pengakap Sempadan yang sangat terbilang semasa peristiwa konfrontasi dan ancaman Pasukan Komunis Kalimantan Utara dahulu.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata Rang Undang-Undang Pesara dan Bekas Polis dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, tahun hadapan.

Beliau berkata ketika ini, pegawai undang-undang di Kementerian Dalam Negeri sedang membuat proses semakan dan satu sesi libat urus berkenaan rang undang-undang berkenaan akan dibuat pada awal tahun hadapan sebelum dimajukan kepada Jemaah Menteri.

“Ini komitmen kita untuk membolehkan kawal selia yang baik bagi memastikan kebajikan bekas pegawai (polis) di semua peringkat dapat dibuat,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *