KOTA KINABALU: Mayat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui terapung di permukaan Sungai Sembulan di Kampung Sembulan Lama, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 46 tahun itu ditemui orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata sepasukan polis terus digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan berhubung penemuan itu untuk siasatan lanjut.
Hasil siasatan awal, katanya, ahli keluarga mendakwa kali terakhir berjumpa mangsa pada jam 12 tengah malam di tepi sungai berhampiran rumah mereka.
“Menurut kakak mangsa, l
elaki terbabit menghidap sakit di kepala kesan daripada pembedahan selepas mengalami kemalangan motosikal pada tahun 2016.
“Siasatan pada badan mangsa juga tidak menemui kesan kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, setakat ini, pihaknya percaya mangsa meninggal dunia akibat lemas selepas berkemungkinan terjatuh ke dalam air sungai.
Katanya, pasukan bomba yang hadir di lokasi membantu mengeluarkan mangsa sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost