Murid Kampung Tampakahu Harungi Jalan Rosak Teruk Ke Sekolah

Keadaan Jalan Kampung Tampakahu, Pitas yang rosak teruk disebabkan keadaan cuaca menyulitkan penduduk.

PITAS : Sekumpulan anak penduduk Kampung Tampakahu di sini, terpaksa mengharungi jalan becak dan rosak teruk sejauh tiga kilometer ketika pergi dan balik sekolah setiap hari, sejak pertengahan tahun ini.

Kanak-kanak terbabit belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Senaja, kira-kira 14 kilometer dari pekan Pitas.

Keadaan itu kerana jalan diselenggara dengan baik, selain diburukkan keadaan cuaca yang kerap hujan dan banjir sehingga merosakkan permukaan laluan tidak berturap itu.

Wakil penduduk Kampung Tampakahu, Lister Mihun, 33, berkata, ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka dengan berjalan kaki sebelum meneruskan perjalanan ke sekolah dengan kenderaan yang menunggu di luar kampung.

“Jalan yang rosak teruk itu adalah sebahagian daripada laluan penting 10 kilometer kepada 100 penduduk Tampakahu.

“Jalan itu adalah laluan tunggal penduduk Tampakahu dibina awal tahun ini menghubungkan kampung itu dengan pekan Pitas, selain turut digunakan penduduk Kinangoh ketika laluan kampung berkenaan terjejas banjir.

“Keadaan jalan yang rosak teruk itu turut menyulitkan penduduk Tampakahu membawa keluar hasil pertanian mereka seperti kepala sawit, getah dan sayuran untuk dipasarkan di luar,” katanya.

Kampung Tampakahu berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bengkoka diwakili Datuk Harun Durabi dan Parlimen Kudat diwakili Datuk Verdon Bahanda.

Beliau berkata, ketika ini, hanya pacuan empat roda boleh menggunakan laluan itu memandangkan keadaan permukaan jalan yang rosak teruk.

Bagaimanapun katanya, segelintir penduduk ada yang memberanikan diri bergadai nyawa melalui jalan licin itu dengan motosikal dan kenderaan kecil untuk melancarkan perjalanan mereka.

“Jalan Tampakahu dibina awal tahun ini, hanya ditabur batu kelikir, namun tidak pada keseluruhan laluan,” katanya.

Lister berkata, keadaan kemudahan itu bertambah lebih buruk dan sukar digunakan ketika musim tengkujuh dan banjir apabila permukaannya menjadi licin, becak dan berlumpur.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mengambil tindakan segera menaik taraf kemudahan berkenaan menjadi jalan berturap penuh demi keselesaan penduduk Tampakahu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *