Polis Sabah Cari Rowen Pejuang

PAPAR : Polis Sabah mengesahkan menerima laporan polis terhadap pemilik akaun laman sosial Facebook, Rowen Pejuang yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, mengaitkan isu agama dan menimbulkan kemarahan orang awam, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, penama atau suspek ini juga sudah dikenal pasti.

“Polis meminta penama ini supaya memberi kerjasama dengan tampil menyerah diri di balai berdekatan bagi membantu siasatan.

“Penama juga dikehendaki membawa segala bukti dan kenyataan berhubung perkara ini, yang menjurus dirinya membuat kenyataan berkenaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Cabaran Kokurikulum Perkhemahan Kor Kadet Polis Negeri Sabah Tahun 2023 di Dewan SMK Pengalat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas berkaitan seorang individu yang didakwa menghina agama Islam di Facebook, baru-baru ini.

Jauteh berkata, hasil makluman awal mendapati, isu ini timbul susulan rasa ketidakpuasan hati suspek terhadap kenyataan terdahulu yang dikeluarkan oleh kumpulan tertentu.

Katanya, kenyataan terbabit dibuat melalui aplikasi seperti WhatsApp dan Facebook yang akhirnya menjurus kepada balas-membalas kenyataan.

“Sebahagian daripada perkara yang ditularkan ini adalah satu tindak balas kepada tular sebelumnya, ada golongan tidak berpuas hati dengan tular sebelumnya atau pun tidak berpuas hati dengan percakapan kumpulan-kumpulan tertentu.

“Selepas itu wujudnya beberapa kandungan kata-kata yang ditangkap layar untuk dijadikan sebagai satu isu lain,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengingatkan awam supaya berhenti mempolemiklan isu fitnah dan isu 3R (religion, royalty, race) yang jelas membawa kepada keburukan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *