Sabah Akan Tubuh Jawatankuasa Bersama Selaras Projek Persekutuan

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, berkata Gagasan Rakyat sudah diterima sebagai komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pada 9 Dis lalu.

KOTA KINABALU, 21 Nov : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersetuju dengan cadangan pembentukan jawatankuasa bersama kerajaan negeri-Persekutuan bagi menyelaraskan pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di negeri itu.

Hajiji berkata cabaran yang menghalang pelaksanaan atau penyiapan projek Persekutuan boleh diatasi dengan penubuhan jawatankuasa di bawah bidang kuasa Pejabat Pembangunan Sabah (SDO) itu, justeru, beliau telah mengarahkan jabatan itu bertindak terhadap kontraktor yang gagal melaksanakannya tugas serta menamatkan kontrak mereka.

“Tamatkan sahaja kontrak mereka. Kenapa kontraktor mesti terus dikekalkan sedangkan projek itu gagal disiapkan? Kenapa perlu tangguh (pecat kontraktor)?.

“Saya mahu semua kementerian, jabatan dan agensi mengambil iktibar terhadap isu yang dikemukakan oleh SDO untuk memperbaiki prestasi,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Terdahulu dalam mesyuarat sama, Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun telah membangkitkan isu pembinaan Masjid Daerah Ranau, yang telah tertangguh dengan ketara namun tiada tindakan untuk menamatkan kontraktor.

Sementara itu, Hajiji berkata dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lepas, Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion bagi pembangunan berbanding RM6.5 bilion tahun ini.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan juga mewakilkan projek pembangunan di bawah RM50 juta kepada Agensi Teknikal Sabah untuk meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan.

Kerajaan Negeri dan Persekutuan juga bersetuju bahawa Sabah akan mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik pada 3 Jan 2024, dengan kerajaan Persekutuan akan meneruskan subsidi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehingga Pelan Transformasi SESB dilaksanakan tujuh tahun mulai sekarang.

Semua ini, menurut Hajiji, mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan Sabah melalui pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri juga mengulangi gesaan agar semua pegawai daerah memantau prestasi projek pembangunan, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dan menangani isu kemiskinan di kawasan masing-masing.

“Fungsi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Daerah dan Kumpulan Fokus Kesejahteraan Rakyat Daerah juga perlu dipertingkatkan, laporkan kepada pihak atasan jika ada masalah.

“Kita mesti fokus pada pelaksanaan projek pembangunan kerana bimbang peruntukan itu gagal sampai ke akar umbi kerana ketidakcekapan,” katanya sambil menambah semua peraturan yang lapuk dan tidak relevan perlu dilkaji semula dan ditambah baik mengikut kesesuaian semasa. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *