Sabah, Sarawak Boleh Terus Guna Bahasa Inggeris Dalam Urusan Rasmi

Ewon Benedick berkata penggunaan bahasa Inggeris tidak menjejaskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

KOTA KINABALU : Seorang menteri persekutuan mengumumkan persetujuan Putrajaya supaya penggunaan bahasa Inggeris kekal dibenarkan dalam urusan rasmi di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick berkata perkara itu dipersetujui Kabinet baru-baru ini, selaras perlembagaan negeri membenarkan penggunaan bahasa Inggeris termasuk dalam prosiding di mahkamah dan DUN.

Keputusan itu dibuat kurang sebulan selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya semua surat rasmi untuk urusan kerajaan termasuk dari pihak swasta wajib menggunakan bahasa Melayu, kecuali surat dari syarikat antarabangsa.

“Kabinet Persekutuan bersetuju bahasa Inggeris dibenarkan dalam urusan rasmi di Sabah dan Sarawak selaras perlembagaan kedua-dua negeri yang menerima penggunaan bahasa itu,” kata Ewon menurut Berita Harian selepas satu program di Penampang.

Menurutnya, penggunaan bahasa Inggeris tidak menjejaskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sebaliknya menambahkan lagi keupayaan anak tempatan untuk menguasai bahasa antarabangsa.

Pengumuman Anwar berhubung perkara itu sebelum ini mendapat maklum balas daripada Kerajaan Sarawak yang menegaskannya akan terus menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi rasmi.

Setiausaha Kerajaan Sarawak Mohd Abu Bakar Marzuki berkata arahan supaya semua urusan rasmi mesti dalam bahasa Melayu tidak terpakai di negeri itu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *