Seorang parah, 12 Cedera Gas Amonia Bocor Di Kilang Ais

Pasukan bomba menjalankan operasi nyahcemar dan sanitasi di lokasi kejadian.

SANDAKAN : Tiga belas pekerja kilang ais kiub di Batu Tiga di sini, dilaporkan cedera dan mengalami sesak nafas selepas sebuah mesin membuat ais pecah.

Dalam kejadian pada 10 pagi itu, seorang daripada mereka dilaporkan parah dan 12 lagi turut mengalami sakit mata dan sakit kulit.

Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jas Jal ketika dihubungi berkata, kejadian berkenaan turut menyebabkan kebocoran gas amonia.

Menurutnya, seramai 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Ketua Operasi melaporkan terdapat mesin membuat ais pecah dan menyebabkan berlakunya kebocoran gas (amonia).

“Kesemua mangsa diberi rawatan awal di lokasi kejadian dan dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans.

“Pasukan bomba berpakaian lengkap peralatan pelindungan diri (PPE) dan bertindak mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam bangunan,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba membuat nyah cemar dan sanitasi di seluruh kawasan terbabit.

“Pemantauan turut dijalankan di kawasan bangunan berhampiran dan mengarahkan semua pekerja untuk segera keluar dari ke kawasan yang diisytiharkan selamat.

“Pihak polis turut mengarahkan kawasan kejadian dan kawasan berhampiran ditutup dengan radius 100 meter sehingga keadaan selamat.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya wujud, operasi kami ditamatkan pada 12.06 tengah hari, ” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *