KOTA KINABALU : Dua lelaki maut manakala lima cedera dalam kemalangan di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Lembaga Padi, 4.30 pagi, hari ini.
Dalam kejadian 4.30 pagi itu, dua mangsa berusia 17 dan 23 tahun meninggal dunia manakala mangsa lelaki berusia 21 tahun parah dan empat lagi lelaki termasuk pemandu berusia antara 15 hingga 22 tahun cedera dan dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dan Hospital Tuaran.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati Toyota Avanza dipandu seorang lelaki bersama enam rakannya dari pusat bandar raya menuju ke rumah di Skim Penempatan Telipok.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Avanza itu dipercayai hilang kawalan dipercayai akibat dipandu dalam kelajuan yang tinggi lalu terbabas merempuh tiang elektik dan pokok besar di bahu kiri jalan.
“Akibat daripada itu, seorang penumpang tercampak keluar manakala seorang lagi tersepit di bahagian penumpang belakang dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, pemandu dan penumpang lain berjaya keluar daripada kenderaan berkenaan.
“Namun pemandu dan seorang lagi penumpang beredar terlebih dahulu pulang ke rumah untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran.
“Tiga lagi mangsa termasuk seorang parah dihantar ke HQE I dan II untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost