Pelajar KV Keningau Menang Lima Pingat Termasuk Dua Emas di Pertandingan Kemahiran Antarabangsa

KENINGAU : Pasukan Kolej Vokasional Keningau yang terdiri daripada lima pelajar dari jurusan seni kulinari dan jurusan bakeri dan pastri telah menyertai pertandingan kemahiran iaitu Young Chef International Culinary Challenge (YCICC) di Kuantan, Pahang, pada 20 sehingga 22 Oktober 2023.

Pertandingan anjuran DHS Academy dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) itu terbuka kepada semua kolej vokasional di negara ini.

Pasukan pelajar yang diiringi oleh tiga guru ini telah bertanding dalam lima kategori dan berjaya mendapat pingat dalam kelima-lima kategori tersebut.

Mereka berjaya merangkul dua pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa.

Dua pingat emas tersebut dimenangi oleh Fitri Shawalelyas Awiss Bin Juharin, 17, dalam kategori hidangan utama moden berasaskan makanan laut atau ikan manakala emas kedua disumbangkan oleh Andrew Sading Vitus, 17, dan Muhammad Fadzrul Mohammad Pu’ad, 16, sebagai satu pasukan dalam kategori hiasan kek.

Nur Haziqah Mairah Binti Ah Yuk @ Awang, 17, berjaya meraih pingat perak dalam kategori ukiran buah-buahan dan sayur-sayuran. Ahli terakhir pasukan ini, Elvin Chew Hai Wing, 19, telah menyertai dua kategori iaitu hidangan utama moden berasaskan ayam dan cabaran mee goreng.

Dia telah dianugerahkan pingat gangsa dalam kedua-dua kategori ini.

Pasukan ini telah berlatih dibawah bimbingan guru-guru hospitaliti di kolej tersebut dan tiga orang guru yang mengiringi mereka ke pertandingan ini adalah Mohd Syuaib Samijan, Nur Hidayah Ismail dan Shazwani Binti Mohamad Yunit.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Bin Akup, menyatakan rasa bangga dengan pencapaian pasukan pelajar itu yang telah berlatih bersungguh-sungguh sebagai persiapan untuk pertandingan ini.

Katanya lagi kejayaan ini mampu menaikkan kesedaran orang awam berkenaan dengan pertandingan kemahiran vokasional yang mampu membantu golongan muda mengasah bakat mereka dan mencipta nama dan kerjaya.

Dia berharap agar para guru dan pelajar di kolej itu untuk terus gigih dan konsisten menyertai pertandingan-pertandingan kemahiran.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *