Budak 11 Tahun Maut Ditetak Rakan Bapa Tiri Di Lahad Datu

Mangsa dibunuh dalam kejadian di sebuah perumahan pekerja Felda Sahabat 30, Lahad Datu pada Sabtu.

LAHAD DATU : Seorang kanak-kanak lelaki maut akibat ditetak oleh rakan kepada bapa tirinya dalam kejadian di sebuah perumahan pekerja Felda Sahabat 30, dekat pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, mangsa berusia 11 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kawasan halaman rumah dengan kesan tetakan oleh objek tajam dipercayai parang pada bahagian belakang dan depan kepala, belakang leher serta putus tapak tangan kiri.

Menurutnya, mangsa ketika kejadian ditinggalkan bersama suspek oleh kedua ibu bapanya kerana keluar bekerja di ladang kelapa sawit kira-kira jam 7.30 pagi.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi bagi menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Rohan Shah berkata, pihaknya juga sedang giat mengesan suspek yang juga warga asing dan rakan kepada bapa tiri mangsa.

“Suspek merupakan pekerja am ladang berumur 33 tahun dan beralamat di perumahan pekerja Lestari Kampung Indera Bakti.

“Suspek telah menghilangkan diri selepas kejadian itu dan motif pembunuhan masih belum dikenal pasti,” katanya.

Katanya lagi, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *