Pekerja Ladang Maut Dibaham Buaya Ketika Mencari Ketam

Mayat mangsa ditemui terbaring di tepi pantai dengan kesan gigitan akibat dibaham buaya.

LAHAD DATU : Seorang pekerja ladang yang sedang mencari ketam maut akibat dibaham buaya dalam kejadian di Kampung Tinagian Tanjung Labian di sini pada pagi Rabu.

Mayat lelaki warga asing berusia 23 tahun itu ditemukan pada jam 7.20 pagi dengan kesan gigitan dan calar di tepi pantai berhampiran pos Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kampung Tanjung Batu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa bersama tiga rakannya sedang mencari ketam di lokasi berkenaan.

Mayat mangsa ditemui terbaring di tepi pantai dengan kesan gigitan akibat dibaham buaya.

“Ketiga-tiga rakan melihat mangsa yang dibaham buaya, namun tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian terlalu pantas sebelum mangsa hilang dari kawasan.

“Tidak lama kemudian, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di tepi pantai dan terdapat kesan gigitan pada bahagian lengan kiri dan kepala serta kesan calar di dada, belakang leher dan punggung,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Rohan Shah berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Kencana tiba di lokasi untuk membawa mayat itu ke Hospital Lahad Datu.

“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *