KENINGAU : Kolej Vokasional Keningau telah menganjurkan kelas induk dalam talian buat guru-guru di Malaysia dengan menjemput Sean Robinson, guru ternama dari British Columbia, Kanada, sebagai jurulatih.
Kelas induk yang berlangsung selama sejam melalui aplikasi Google Meet pada 7 September 2023 itu telah dihadiri lebih daripada 100 orang guru. Beberapa guru telah menayangkan sesi ini di skrin kelas mereka agar pelajar-pelajar mereka dapat menontonnya.
Sean Robinson memperkenalkan metodologi yang dirintisnya iaitu pembelajaran berasaskan hubungan untuk meningkatkan kapasiti pelajar dalam membantu komuniti dan meningkatkan kemahiran STEM mereka.
Kelas induk ini merupakan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kolej tersebut yang diwakili oleh Jyfreena Ryzza Yanik, Natalia Jaikoh dan Stacey Nicquen Freddy. Mereka dibantu oleh sepasukan guru di kolej itu.
Sean Robinson merupakan finalis Global Teacher Prize anjuran Varkey Foundation pada tahun 2019 dan pemenang GESS Education Award pada tahun 2021. Dia telah menerbitkan dua buku berkenaan dengan teori pembelajaran yang direkanya sendiri iaitu Connections-Based Learning yang dikenali sebagai CBL secara ringkas.
Melalui sesi tersebut, dia menekankan bagaimana pembelajaran bilik darjah, melalui teknologi masa kini, dapat dikaitkan dengan dunia luar apabila pelajar-pelajar tersebut dapat berinteraksi dengan komuniti, organisasi dan pakar di dalam dan luar negara.
Berdasarkan interaksi tersebut, para pelajar berusaha untuk menhasilkan projek inovasi atau projek sosial yang mampu membantu komuniti-komuniti yang telah mereka jalinkan hubungan kerjasama.
Aktiviti ini adalah sebahagian daripada program pengantarabangsaan kolej terbabit.
Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Bin Akup, meluahkan sokongan penuhnya terhadap program pengantarabangsaan ini yang mampu memperluaskan landskap pendidikan kolej itu dengan mempelbagaikan ruang dan alternatif bagi guru-guru dan para pelajar untuk mendapatkan perspektif, idea dan cabang ilmu yang baharu.
Selain daripada kelas induk, program pengantarabangsaan kolej ini juga melibatkan program pertukaran budaya, meja bulat dan pembentangan persidangan yang hampir kesemuanya dilaksanakan melalui platform alam maya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost
Kelas induk ini boleh diakses melalui pautan: