Isteri Maut, Suami Cedera Motosikal Kemalangan Dengan Dua Kenderaan

Motosikal dinaiki mangsa yang terbabit kemalangan di Jalan Pulutan, Manggatal, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU : Wanita maut selepas motosikal dibonceng dengan suami terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Pulutan, Manggatal, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.25 pagi itu, mangsa Fifiana Majunti, 34, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Likas.

Suaminya berusia 29 tahun yang cedera masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu motosikal, lori dan Toyota Hilux.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, pemandu lori lelaki berusia 47 tahun dari arah Kampung Pulutan dalam perjalanan menuju ke sebuah bengkel.

“Ketika hendak memasuki simpang kanan di hadapan bengkel, tiba-tiba sebuah motosikal dinaiki suami isteri berkenaan dari arah belakang disyaki memotong menyebabkan berlaku perlanggaran di bahagian depan sebelah kanan lori.

“Impak pelanggaran menyebabkan penunggang dan pembonceng terbabas lalu terlanggar bahagian belakang Toyota Hilux yang ketika itu berada dibahu kanan jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pembonceng disahkan meninggal dunia jam 10.10 pagi hari yang sama, akibat parah di kepala.

Penunggang motosikal cedera ringan dan masih menerima rawatan di HQE I manakala kedua-dua pemandu lori dan Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *