Fokus Di Sabah, Kerjasama Dengan UMNO, Warisan Digesa

Warisan sebelum ini menguasai Sabah, tetapi melihat pengaruhnya semakin berkurangan.

KOTA KINABALU : Seorang penganalisis politik menggesa Warisan memfokuskan usahanya terhadap membangunkan Sabah dan bekerjasama dengan Umno jika mahu mengukuhkan semula kedudukannya susulan pelbagai kekalahan dialami dalam pilihan raya di Semenanjung.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Warisan patut memfokuskan sumbernya terhadap Sabah dan bukannya berusaha memperluaskan pengaruhnya.

“Warisan boleh meningkatkan relevannya dengan memfokuskan isu tempatan, atau isu yang berkait dengan Sabah. Mereka tidak perlu meluaskan sayap ke Semenanjung kerana cubaan pertama telah gagal,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas perbincangan awal diadakan mengenai kemungkinan gandingan Warisan dan Umno menjelang pilihan raya negeri Sabah yang perlu diadakan sebelum Disember 2025.

Katanya, kerjasama dengan Umno lebih masuk akal berbanding berganding bahu dengan Gabungan Rakyat Sabah.

“Sukar untuk Warisan (bekerjasama dengan GRS) kerana dari segi sejarah, parti yang menyebabkan kejatuhan Shafie Apdal sebagai ketua menteri adalah Bersatu Sabah. Susulan itu, Bersatu Sabah ‘bertukar warna’ dan menjadi sebahagian daripada GRS, katanya.

Seorang lagi penganalisis, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, Warisan mesti mempelbagaikan kepimpinannya kerana kebangkitan semula bergantung kepada sejauh mana dapat menarik pengundi minoriti.

Katanya, tidak cukup untuk bergantung sepenuhnya terhadap Darrel Leiking, Loretto Padua dan Junz Wong sebagai pemikat pengundi Kadazandusun Murut (KDM), Cina serta golongan muda, memandangkan Warisan berdepan saingan hebat daripada blok pelbagai bangsa lain.

“Kawasan bandar kekal di bawah pengaruh DAP dan Pakatan Harapan,” katanya, dengan menambah pengundi muda kebanyakannya di kawasan bandar yang lazimnya menjadi kubu kuat PH.

“Kawasan pantai barat dan pedalaman kebanyakannya dihuni masyarakat KDM, tetapi kubu kuat Warisan lebih terletak di pantai timur Sabah yang majoriti penduduknya beragama Islam.”

Kejatuhan Warisan bermula selepas parti itu hilang kedudukan sebagai kerajaan negeri Sabah susulan pilihan raya pada 2020 yang melihat kemenangan mengejut oleh GRS.

Susulan itu, pada pilihan raya umum November lalu, Warisan hilang lima daripada lapan kerusi parlimen dikuasainya.

Beberapa ahli penting turut keluar parti ketika itu termasuk bekas naib presidennya Peter Anthony yang kemudian membentuk parti sendiri.

Dalam pada cabaran dihadapi, Warisan sepatutnya mampu bertahan selagi ahlinya masih memegang jawatan lantikan, kata James Chin dari University of Tasmania.

Warisan kini mempunyai tiga kerusi di Dewan Rakyat dan 14 ADUN.

“Saya tidak fikir parti itu akan hilang, dan ramai masih mengiktiraf jenama Warisan dalam masyarakat Sabah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Warisan masih perlu mendefinisi apa sebenarnya diperjuangkannya bagi memenangi hati pengundi Sabah.

“Ini penting, kerana jika bercakap dengan orang ramai di Kota Kinabalu hari ini, mereka tidak pasti apa sebenarnya pendirian Warisan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *