Pelajar Sabah Pamer Projek Alam Sekitar Di Persidangan Penyelidikan STEM Antarabangsa

KENINGAU : Denver Eldie, pelajar tahun akhir jurusan teknologi elektrik Kolej Vokasional Keningau, merupakan salah satu daripada 33 belia dari seluruh dunia yang terpilih sebagai pempamer projek secara dalam talian di persidangan Youth STEM Matters Research Conference yang berlangsung dari 29 Julai sehingga 30 Julai 2023.

Program yang berprestij itu merupakan anjuran persatuan belia Youth STEM yang berpusat di United Kingdom dan ianya ditaja oleh University of Aberdeen.

Terdapat 24 projek yang dipamerkan melalui laman sesawang persidangan itu dan 33 belia yang terpilih sebagai pempamer projek-projek ini berasal dari 14 negara dari benua Amerika Selatan, Amerika Utara, Afrika, Asia dan negara penganjur iaitu Britain.

Terdapat beberapa sesi aktiviti yang berlangsung semasa persidangan tersebut iaitu sesi bicara inspirasi, pameran penyelidikan, bengkel kemahiran serta beberapa peluang dan hadiah untuk para peserta juga turut ditawarkan.

Proses pemilihan pembicara dan pempamer untuk persidangan ini dilakukan melalui permohonan terbuka kepada golongan belia dengan menghantar ringkasan projek, video projek serta menjawab beberapa soalan subjektif.

Denver Eldie telah mengetuai pasukan dia membina mesin penapis air yang boleh digunakan di rumah untuk menjernihkan air yang telah digunakan dari aktiviti membasuh baju, mencuci pinggan dan mandi agar ianya boleh digunakan semula untuk tujuan yang sama ataupun tujuan lain seperti menyiram tanaman.

Justifikasi mesin ini adalah untuk mengurangkan pembaziran air dan mengoptimumkan sumber bekalan air yang sedia ada. Mereka pernah memenangi pingat di pertandingan inovasi dan membentang projek ini di persidangan dalam talian pada tahun 2022.

Denver menyatakan rasa bangga dipilih sebagai pempamer di persidangan ini memandangkan proses pemilihan adalah sengit dan dia menganggap ini sebagai satu pengiktirafan bagi projek tersebut yang berpotensi untuk ditambahbaik.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau meluahkan rasa gembira atas penglibatan pelajar ini yang menunjukkan kemenjadian para pelajar di kolej itu yang tekad melahirkan graduan yang inovatif, cekap dan bijak berkomunikasi.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *