Hajiji Mahu Bahasa, Budaya Dan Adat Etnik Di Sabah Diperkasa

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU : Bahasa, kebudayaan dan adat etnik di Sabah perlu diperkasakan agar tidak terpinggir dalam kemodenan serta teknologi masa kini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata kepelbagaian etnik di Sabah yang terdiri daripada 35 etnik dan 217 sub etnik, menggunakan lebih 50 bahasa dan kira-kira 90 dialek perlu dipertahankan untuk diwarisi generasi muda akan datang.

“Saya mahu persatuan etnik berusaha memastikan anak-anak kita, terutama generasi muda boleh bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

“Jika bahasa dan warisan budaya kaum tidak dipertahankan, maka akan hilang identiti kaum tersebut,” katanya dalam ucapan sempena majlis Anugerah Lagu SABAHVfm di sini malam tadi. Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata pelbagai program untuk memartabatkan khazanah budaya pelbagai kaum dan etnik di Sabah juga akan diperkasakan.

Beliau berkata rakyat pelbagai kaum di negeri ini perlu sentiasa berasa bangga mempamerkan keunikan bahasa dan budaya masing-masing supaya dikenali oleh generasi muda dan orang luar.

“Muzik dan lagu sama ada Kadazan, Dusun, Bajau dan Murut membentuk dan mewujudkan identiti budaya kita yang unik melalui penggunaan bunyi instrumen dan irama yang unik serta menarik,” katanya yang mengalu-alukan inisiatif RTM mengadakan program tersebut. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *