Kastam Rampas Dadah Lebih RM3.2 Juta Di KLIA

Wong Pun Sian (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 67kg dadah disorok dalam empat bungkusan dagangan di kawasan kargo KLIA.

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup dadah lebih RM3.2 juta yang disembunyikan dalam bungkusan dagangan di kawasan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada 26 Julai lepas.

Dalam operasi kira-kira 1.10 tengah hari itu, anggota Cawangan Eksport, Bahagian Perkastaman Zon Tengah, Unit III (LTAKL) JKDM menahan sebuah lori “bonded” di bahagian belakang Pintu 9 Eksport kargo KLIA dan menemui 67.098kg dadah disorok dalam empat daripada 24 bungkusan diperiksa.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah JKDM, Wong Pun Sian dalam kenyataan berkata, dadah seberat 41.8407kg disyaki methamphetamine dan 25.2573kg dadah pula disyaki methylenedioxy-methamphetamine (MDMA).

“Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh, dianggarkan 336,000 penagih dadah dapat diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati parcel itu akan dihantar ke alamat penerima di Sabah.

“Maklumat pengirim disyaki dipalsukan bagi mengelirukan dan mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya sambil menambah siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah menyembunyikan dadah dalam kotak dan dimasukkan ke dalam guni bagi mengaburi pihak berkuasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Beliau menyeru orang ramai membantu JKDM memerangi aktiviti penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.

“Penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.”

Penyaluran maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol JKDM 1-800-88-8855 atau ke pejabat kastam terdekat di semua negeri. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *