Tular Pukul Di Luar Pusat Hiburan, Wanita Antara 7 Individu Ditahan Polis

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu termasuk wanita di luar pusat hiburan di Luyang Commercial Centre.

KOTA KINABALU : Enam lelaki dan seorang wanita ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian memukul seorang lelaki di luar kawasan sebuah pusat hiburan di Luyang Commercial Centre, Kota Kinabalu seperti yang tular di media sosial, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Kalsom Idris, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 5 petang kelmarin.

Katanya, mangsa lelaki membuat laporan polis mendakwa dipukul dan diugut oleh beberapa individu tidak dikenali.

“Mangsa dipanggil keluar dari sebuah pusat hiburan oleh seorang wanita dan lelaki tidak dikenali.

“Ketika berada di luar, mangsa mendakwa ditolak dan ditumbuk di muka serta ditendang di perut beberapa kali oleh suspek yang tidak dikenali hingga mengalami pendarahan di hidung dan kepala,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.

Beliau berkata, suspek kemudian menarik mangsa dan membawanya ke dalam kereta untuk dibawa ke IPD Kota Kinabalu sebelum merampas semua telefon bimbit mangsa hingga rosak.

“Dalam perjalanan ke IPD Kota Kinabalu, seorang daripada suspek mengeluarkan cota besi dan mengugut mangsa.

“Tiga suspek didakwa menumbuk dan menendang mangsa berkali-kali manakala seorang suspek turut mengugut hingga mangsa ketakutan,” katanya.

Katanya, selepas membuat laporan polis, mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Punca kejadian belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *