Kerajaan Lulus Peruntukan RM3 Juta Selesai Masalah Air UMS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) disambut pelajar ketika lawatan ke Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS), bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di universiti itu.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata meskipun negara berdepan dengan hutang sebanyak RM1.5 trillion, namun beliau tidak mahu mahasiswa UMS menghadapi kesukaran menjalani kehidupan ketika menimba ilmu.

“Dalam beberapa hari ini, kita pastikan wang itu disalurkan kepada kerajaan negeri, jangan ganggu mahasiswa, jangan ganggu staf, itu tanggungjawab kerajaan persekutuan,” katanya pada Majlis Temu Anwar @UMS Kota Kinabalu.

Turut hadir Ketua Menteri Hajiji Noor, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Yusof Apdal, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS Kasim Mansor.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata peruntukan itu tidak mudah untuk diberikan, namun ia diberikan atas kesedaran beliau memahami kesukaran mahasiswa yang dianggapnya seperti anak sendiri.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan persekutuan komited untuk mengatasi masalah sekolah daif serta keperluan pendidikan di negara ini, dan melalui Kementerian Pendidikan, kerajaan sedang menjalankan usaha ke arah penyelesaian masalah itu.

“Saya tanya menteri pendidikan (Fadhlina Sidek) beri saya jumlah keperluan (baiki) sekolah daif, tandas rosak, klinik rosak itu, perlukan RM1.4 billion. Pengalaman saya lihat sekolah lapan tandas ada empat rosak, empat tandas tiga rosak jadi adakah kita mahu latih anak kita beratur (masuk tandas) seperti filem Bujang Lapok,” katanya.

Sementara itu, perdana menteri berkata Presiden Indonesia Joko Widodo dijadual mengadakan lawatan ke Malaysia pada minggu depan.

Anwar berkata tujuan lawatan itu bagi memperkukuhkan kerjasama hubungan bilateral antara kedua-dua negara, antaranya perdagangan, pelaburan dan pendidikan.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *