Kerajaan Buat Laporan Polis Terhadap Waris ‘Sultan Sulu’

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), laporan dibuat kerana tuntutan ‘Mendakwa Waris Sultan Sulu’ merupakan ancaman kepada keselamatan negara.

KUALA LUMPUR : Satu laporan polis dibuat terhadap penuntut-penuntut warga Filipina yang “Mendakwa Waris Jamalul Kiram II (Sultan Sulu)”, kata sekretariat khas Jabatan Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan, laporan itu dibuat ketua pengarah, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri di IPD Putrajaya kerana tuntutan itu merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara.

Katanya, laporan itu dibuat susulan daripada tindakan tuntutan yang difailkan oleh penuntut-penuntut melalui notis timbang tara yang diserahkan kepada kerajaan pada 30 Julai 2019 melibatkan anggaran tuntutan melebihi USD32 bilion.

“Objektif laporan polis dengan mengambil kira wujudnya elemen sabotaj ke atas ekonomi dan ancaman kepada keselamatan negara melalui tindakan agresif penuntut-penuntut yang dipercayai bersubahat dengan menyalahguna proses timbang tara antarabangsa.

“Susulan daripada laporan ini, dipercayai satu siasatan jenayah akan dimulakan oleh pihak berkuasa demi menjamin keamanan, keselamatan dan kestabilan negara,” katanya.

Sekretariat itu berkata, rentetan daripada insiden pencerobohan di Lahad Datu, kerajaan telah mengisytiharkan Kumpulan Royal Sulu Force (RSF) sebagai entiti pengganas yang terbabit dalam tragedi pencerobohan di Sabah pada 2013.

Katanya, salah seorang penuntut iaitu Fuad A Kiram juga telah diklasifikasikan sebagai pengganas di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFUAA) pada 6 April lalu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *