Warisan Gesa Jawatankuasa Khas Ditubuh Perhalusi Perkara 6(7) Perlembagaan Sabah

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU, 26 Mei :  Parti Warisan (Warisan) mencadangkan agar satu jawatankuasa khas ditubuh di peringkat negeri yang berfungsi seperti Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen bagi memperhalusi semula Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah bagi memastikan proses pemilihan seorang Ketua Menteri lebih teratur dan jelas.

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia penting supaya pemilihan Ketua Menteri Sabah bukan ditentukan menerusi Akuan Bersumpah yang dikhuatiri boleh menimbulkan ketidaktentuan politik.

“Warisan menyuarakan supaya Perkara 6(7) jangan dimansuhkan. Jika ada penambahbaikan, kita ubah. Tetapi oleh kerana mereka (Ahli Dewan Undangan Negeri) pun memberi undi, ia dimansuhkan. Mereka (Kerajaan Negeri Sabah) berjanji akan kaji semula melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya harap perkara ini akan disusuli dan kerajaan negeri menunaikan janji untuk melihat bagaimana kerangka Perkara 6(7) kerana apa yang disebut di situ, parti majoriti yang seharusnya akan menjadi pemerintah. Jangan pula yang bukan majoriti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Semalam, Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 berkaitan antilompat parti dengan sokongan 75 ADUN manakala empat ADUN tidak hadir pada bacaan ketiga selepas dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Pada bacaan kedua, undi belah bahagi yang dilakukan untuk Fasal 2 rang undang-undang itu menyaksikan 61 ADUN bersetuju Perkara 6(7) digugurkan, 14 ADUN tidak bersetuju manakala empat ADUN tidak hadir.

Perkara 6(7) adalah berkaitan panduan Yang Dipertua Negeri Sabah bagi melantik Ketua Menteri dalam kalangan ADUN yang merupakan ketua parti atau gabungan politik yang memenangi kerusi majoriti pada pilihan raya negeri.

Mohd Shafie, yang juga ADUN Senallang, berkata apa yang penting ialah ketua parti serta gabungan politik yang dipilih menerajui pentadbiran Sabah adalah individu atau parti yang menyertai pilihan raya negeri dan mendapat majoriti.

“Kita tidak mahu nanti parti yang tidak bertanding pilihan raya di Sabah akan menjadi kerajaan. Ini bercanggah dengan sistem demokrasi,” katanya.

Ketua Pembangkang DUN Sabah itu berkata sokongan sebulat suara ADUN terhadap rang undang-undang tersebut merupakan manifestasi jelas bagi memastikan kestabilan politik Negeri Di Bawah Bayu dan berharap pewartaannya dipercepat. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *