Mayat Lelaki Dibaham Buaya Ditemukan Tanpa Kaki Dan Tangan

Pasukan Bomba mengangkat mayat mangsa dibaham buaya di Sungai Rawog, Ladang Linbar 2, Beluran semalam.

BELURAN: Mangsa lelaki dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ditemukan tanpa kedua-dua belah tangan dan kaki di Sungai Rawog, Ladang Linbar 2, dekat sini pagi tadi.

Lelaki berusia 28 tahun dikenali sebagai Rudi Amiruddin dilaporkan hilang pada pukul 3.51 petang Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, mayat mangsa ditemukan tanpa kedua-dua belah tangan dan kaki pada pukul 10.30 pagi oleh pasukan penyelamat dan orang kampung, kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat saksi, sebelum kejadian, mangsa melakukan aktiviti membersihkan kawasan pagar elektrik di dalam kawasan ladang berkenaan.

“Namun, semasa berehat, mangsa telah pergi ke sungai seorang diri untuk mencuci tangan dan kaki sebelum disambar buaya yang mengheret mangsa ke dalam sungai.

“Mangsa sempat menjerit meminta tolong tapi, rakan sekerja mangsa tidak sempat membantu kerana kejadian berlaku terlalu pantas,” katanya.

Edoen berkata, mangsa ditemukan pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan. Operasi SAR dilakukan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

Kawasan kejadian juga tidak mempunyai litupan rangkaian trunk radio bersepadu kerajaan (GIRN).

Jelas beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.30 pagi.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *