Bekas Pemain Ragbi Sabah Berdepan Hukuman Mati

Arden Mattson (baju ungu, berambut panjang) diiring keluar dari Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU : Seorang bekas pemain ragbi wakil Sabah berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan atas dakwaan membunuh adik kandung pada 4 Mei lalu.

Tertuduh, Arden Mattson Maturin, 26, yang dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, dituduh melakukan jenayah itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketika prosiding di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun, Arden mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan.

Bagaimanapun, mahkamah menjelaskan pengakuan tertuduh tidak diambil kerana prosiding di Mahkamah Majistret hari ini hanya untuk proses sebutan kes.

Jessica kemudian menetapkan 14 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berdasarkan pertuduhan, Arden didakwa membunuh adiknya, Audrey Maturin, 24, antara jam 3.30 petang hingga 4.30 petang di rumah di Taman Prestij, Jalan Signall Hill, di sini, pada 4 Mei lalu.

Tertuduh adalah seorang bekas pemain ragbi negeri dan kini masih aktif bermain bersama sebuah kelab tempatan.

Audrey ditemui dalam keadaan tertiarap, berlumuran darah dan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan yang teruk di muka oleh bapanya pada 4 Mei, jam 4.50 petang.

Mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE2) bagi mendapatkan rawatan.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 10.30 malam Sabtu lalu, selepas dua hari dirawat di hospital.

Pendakwaan dikendalikan oleh Albert Basiri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *