Dua Pegawai Imigresen Didakwa Rasuah Lepaskan PATI Keluar Sabah

Rosmaini (kanan) dan Elmin di Mahkamah Khas Rasuah Tawau hadapi tuduhan terima rasuah dan bersubahat menyeludup PATI ,

TAWAU : Dua pegawai Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini pada Rabu atas pertuduhan rasuah bagi melepaskan sembilan pendatang tanpa izin yang menggunakan kad pengenalan individu lain untuk keluar dari Sabah menuju ke Semenanjung, dua bulan lepas.

Rosmaini Sapar, 40, dan Elmin Salleh, 30, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Rosmaini didakwa menerima rasuah RM4,500 daripada seorang individu sebagai dorongan untuk pendatang tanpa izin berkenaan melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen 1, Lapangan Terbang Tawau antara 8.30 pagi hingga 9 pagi bagi menaiki penerbangan dari Tawau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 23 Mac lepas.

Rosmaini, yang bertugas di Pejabat Imigresen UTC Tawau, dituduh menerima rasuah itu di Bank Muamalat cawangan Tawau, Lot 69 & 70, Ground & First Floor No G4 & G6, Kubota Square, di sini, pada 22 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Elmin yang bertugas di Pejabat Imigresen, Lapangan Terbang Tawau didakwa bersubahat dengan Rosmaini serta menerima suapan di lokasi dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta serupa.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Jason membenarkan Rosmaini dan Elmin masing-masing diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, selain tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nurul Izzati Sapifee, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Jhesseny P Kang. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰ https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *