KKM Cadang Wajibkan Semula Pemakaian Pelitup Muka Di Sekolah

Dr Zaliha Mustafa berkata sebarang garis panduan dan SOP baharu untuk pelajar akan dikeluarkan sebelum sekolah dibuka semula sebagai langkah berjaga-jaga. – Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan akan mencadangkan supaya pemakaian pelitup muka diwajibkan semula di sekolah bagi mengekang lonjakan kes Covid-19 susulan penularan varian XBB.1.16, atau dikenali sebagai Arcturus.

Menurut New Straits Times, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata beliau akan mengadakan pertemuan segera bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, sebelum sekolah dibuka semula pada 2 Mei.

Zaliha berkata sebarang garis panduan dan SOP baharu untuk pelajar akan dikeluarkan sebelum persekolahan dibuka semula sebagai langkah berjaga-jaga.

“Ini penting. Jika mana-mana pelajar dijangkiti selepas sambutan Aidilfitri dan melakukan perjalanan, ia boleh membawa kepada penularan di sekolah,” katanya sambil menambah, Kementerian Pendidikan akan membuat keputusan berhubung cadangan itu.

“Ibu bapa tidak perlu panik apabila melibatkan penyebaran varian baharu ini. Bagaimanapun, kami amat menggalakkan semua pihak termasuk pelajar untuk terus memakai pelitup muka bagi mengekang sebarang jangkitan.

“Sekiranya mereka mengalami simptom (Covid-19), mereka harus memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan sosial seperti yang diamalkan sebelum ini dan mendapatkan bantuan perubatan,” katanya.

Sebanyak 12 kes varian Arcturus telah dikesan, dengan enam daripadanya dikesan di Lembah Klang dan bakinya dikesan di Sarawak.

Arcturus ialah subvarian Omicron, varian yang dikatakan sangat mudah berjangkit dan kurang terdedah kepada vaksin. Ia dipercayai menyebabkan lonjakan jangkitan di negara seperti India.

Zaliha berkata mereka yang dijangkiti subvarian Omicron biasanya mengalami gejala ringan dan berada dalam keadaan stabil.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *