Remaja Lelaki OKU Maut, Rakan Kritikal Dipanah Petir Di Papar

Pasukan bomba menenangkan keluarga mangsa.

PAPAR: Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) maut manakala seorang lagi rakannya kritikal selepas dipanah petir ketika bermain bola di padang Pekan Papar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.55 petang itu, mangsa Muhammad Zulqilfle Redzwan, 13, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4 petang.

Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar digerakkan ke lokasi kejadian.

“Laporan dua remaja lelaki masing-masing berusia 13 tahun disambar petir ketika menjalankan aktiviti sukan bola sepak.

“Pasukan bomba EMRS memberi rawatan awal pada mangsa yang cedera dan seterusnya menyerahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke Hospital Papar.

“Manakala seorang mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian disahkan oleh petugas perubatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat pada 4.40 petang,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *