Nenek Sempat Selamatkan Cucu Sebelum Maut Dilanggar Motosikal Di Jalan UMS

Kemalangan berlaku di kemalangan di Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampung Rampayan, Kota Kinabalu pada Selasa.

KOTA KINABALU : Dua maut manakala dua lagi termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampung Rampayan di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, pejalan kaki wanita berusia 56 tahun maut di lokasi kejadian manakala cucu perempuan berusia sembilan tahun cedera ringan.

Seorang lagi mangsa maut ialah penunggang motosikal berusia 46 tahun manakala rakan wanitanya berusia 47 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kemalangan maut itu membabitkan dua pejalan kaki dan dua individu menaiki sebuah motosikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal bersama rakannya dalam perjalanan dari arah Indah Permai menuju ke One Borneo.

“Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian, seorang wanita dan kanak-kanak tiba-tiba melintas jalan menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar wanita berkenaan.

“Sebelum pelanggaran berlaku, wanita terbabit sempat menolak cucunya bagi mengelak daripada dilanggar.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala cucunya dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaidi berkata, akibat pelanggaran itu menyebabkan penunggang dan pembonceng terbabas ke bahu kanan jalan.

“Penunggang motosikal yang cedera di kepala maut di lokasi manakala rakannya hanya cedera ringan di bahagian muka dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE1) untuk rawatan.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *