Rayuan Ditolak, Peter Anthony Kekal Dipenjara 3 Tahun, Denda RM50,000

Peter Anthony hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan rayuan kes memalsukan dokumen Universiti Malaysia Sabah (UMS).

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Datuk Peter Anthony kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hampir sembilan tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas menolak rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu. Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam S. Devanandan agar sabitan dan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuan akhir di Mahkamah Rayuan.

Permohonan penangguhan itu tidak dibantah oleh pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin selepas mengambil kira Peter tidak berisiko melarikan diri dan memberi kerjasama ketika hadir prosiding perbicaraan.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Ahmad menyatakan, hakim bicara tidak terkhilaf ketika mencapai dapatan dan mensabitkan Peter terhadap pertuduhan yang dihadapinya. Beliau berpuas hati, tiga saksi utama pendakwaan adalah kredibel dan bukan rakan sejenayah manakala kerjaya dua daripada mereka turut terjejas selepas dikenakan tindakan tatatertib oleh UMS.

Mereka ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shariff Abdul Kadir S. Omang (SP8), Pendaftar UMS, Lt. Kol (K) Datuk Abdullah Mohd. Said (SP9) dan rakan Peter, Mohd. Shukur Mohd. Din (SP3).

Mahkamah berpendapat, tiada bukti menunjukkan saksi-saksi berkenaan berbohong kerana keterangan mereka konsisten dan tidak bercanggahan di antara satu sama lain. Pada hemat Hakim Ahmad, mereka digunakan oleh perayu untuk mencapai hasratnya sehingga beranggapan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS adalah untuk kepentingan universiti itu, walhal ia sebenarnya untuk kepentingan peribadi tertuduh.

Ujar beliau, Peter berjaya mengaburi ketiga-tiga saksi berkenana bahawa projek yang dinyatakan adalah berkaitan perkongsian pintar walhal ia untuk keuntungannya sendiri.

Hakim Ahmad bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa mustahil tertuduh tidak mengetahui status projek yang telah ditawarkan secara tender terbuka walhal Asli Jati Engineering adalah salah satu daripada lapan syarikat yang telah memasuki tender itu.

Mahkamah turut berpuas hati, pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata dan sesuatu yang difikirkan semula (afterthought) manakala keterangan saksi pembelaan tidak membantunya.

Mengikut pertuduhan, Peter, 52, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd., didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014. Sementara itu, Devanandan berhujah agar hukuman terhadap anak guamnya dikurangkan dengan mengambil kira peranan dan jasa Peter terhadap pembangunan negeri Sabah serta UMS.

Bagaimanapun, Wan Shaharuddin membantah permohonan meringankan hukuman atas alasan perayu seorang yang terpelajar dan memegang jawatan tinggi di negeri itu namun licik sehingga memperdayakan pengurusan tertinggi UMS dan Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan

Pada 26 Mei 2022, Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan terhadap Peter selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen.

Hakim bicara berpuas hati, walaupun tiada keterangan langsung yang menunjukkan Peter telah memalsukan dokumen, mahkamah bergantung kepada keterangan ikut keadaan bahawa Peter memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat TNC.

Azura berpendapat, hanya Peter mempunyai kepentingan untuk mendapatkan kontrak kerja-kerja penyelenggaraan dan bersungguh-sungguh mendapatkannya bagi kepentingan sendiri dan syarikatnya, Asli Jati Engineering. Azura turut menyatakan, tiada isu bahawa ketiga-tiganya mempunyai kepentingan untuk meletakkan kesalahan kepada tertuduh.  – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *