PRN: UMNO Sabah, GRS Masih Boleh Berjasama, Kata Penganalisis

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin (kanan) cuba menyingkirkan Hajiji Noor sebagai ketua menteri awal tahun ini.

KOTA KINABALU : UMNO Sabah tidak patut menutup ruang berganding bahu dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRN akan datang, walaupun pernah cuba menggulingkan pakatan memerintah negeri itu Januari lalu, kata penganalisis.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, Umno Sabah juga tidak wajar menolak kerjasama dengan parti lain di negeri itu.

Lee berkata, Umno Sabah tidak patut bergantung kepada parti pusat lagi kerana ia bukan parti paling kuat di negara ini.

“Umno kini di tempat kedua selepas parti Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan,” katanya.

Lee Kuok Tiung.

Ahad lalu, ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin dilaporkan berkata, parti itu akan mempertimbangkan kerjasama dengan mana-mana parti politik yang mampu membantunya menang dalam PRN akan datang, iaitu dalam tempoh dua tahun.

Awal tahun ini, Bung cuba menyingkirkan Hajiji Noor dengan mengumumkan parti itu menarik sokongan kepada ketua menteri berkenaan.

Tindakan itu yang turut disokong Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan seorang Adun bebas, gagal selepas Hajiji membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti Adun.

Oh Ei Sun.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura menjangkakan Umno Sabah akan bekerjasama dengan Warisan dan GRS, khususnya bagi kerusi yang dilihat kurang yakin dimenanginya.

Beliau berkata, parti itu juga berkemungkinan besar mencari rakan kongsi yang boleh didominasinya atau bekerjasama dengan baik, contohnya Warisan.

Katanya, ini disebabkan “kemungkinan Bung menganggap Presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai senior” kerana pemimpin itu bekas ahli Umno dan memegang jawatan naib presiden sebelum keluar parti pada 2016. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *