Sabah Perlu Peruntukan Besar Untuk Naik Taraf Fasiliti Kesihatan – Hajiji

Foto Facebook Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meminta Kementerian Kesihatan memberi keutamaan kepada Sabah daripada segi agihan peruntukan pembangunan dan menaik taraf fasiliti kesihatan di negeri itu. 

Beliau berkata Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai jumlah hospital dan klinik terbanyak di Malaysia namun kebanyakannya berada dalam keadaan usang serta daif.

“Sabah memerlukan agihan peruntukan yang saksama dan lebih besar berbanding negeri lain termasuk untuk pembinaan baharu serta menaik taraf infrastruktur dan fasiliti kesihatan sedia ada,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji membincangkan perkara itu semasa menerima kunjungan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa hari ini yang kemudian memberi taklimat mengenai program serta projek pembangunan kesihatan yang telah dan akan dilaksanakan oleh kementerian berkenaan di Sabah.

Zaliha turut mengadakan perbincangan dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengenai pembinaan Klinik Kesihatan Kelas 3 (KK3) Penampang yang tertangguh.

Ewon, yang juga Ahli Parlimen Penampang, pula berkata penyegeraan pembinaan KK3 adalah penting untuk memberi perkhidmatan kesihatan dan rawatan pesakit luar kepada masyarakat di kawasan itu.

“Saya telah menyatakan kepada Dr Zaliha agar kerja-kerja dapat dimulakan pada tahun hadapan sebaik sahaja proses perolehan secara tender yang dijangka memakan masa sehingga enam bulan diselesaikan,” menurutnya dalam kenyataan berasingan.  – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *