Pengedar Dadah Ditembak Mati Selepas Langgar Polis Di Lahad Datu

Suspek ditembak mati selepas melanggar anggota polis yang cuba menahannya dalam Op Tapis di Lahad Datu.

LAHAD DATU : Seorang pengedar dadah ditembak mati selepas melanggar dua anggota polis yang cuba menahannya di tepi jalan, Jalan Plum Oil Industrial Cluster (POIC) Phase 2, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.45 pagi itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bertindak menahan Perodua Viva dipandu seorang lelaki kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran dadah.

Barang yang dirampas dari suspek. – Foto ihsan IPD Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad Berkata, ketika hendak ditahan untuk pemeriksaan, secara tiba-tiba, suspek mengundurkan keretanya dengan agresif dan melanggar salah seorang anggota dalam pasukan serbuan berkenaan.

Katanya, suspek kemudian membuat pusingan U dan memecut kereta dipandunya dengan melawan arus serta turut melanggar seorang lagi anggota dalam pasukan yang cuba menghalang suspek.

“Bagaimanapun, anggota terbabit sempat melepaskan tembakan ke arah kereta suspek bagi tujuan mempertahankan diri sebelum dilanggar.

“Suspek memecut kereta dipandunya kerana cubaan melarikan diri daripada ditahan oleh pasukan serbuan dan kemudian dilihat terbabas pada jarak 400 meter dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan berkata, pemeriksaan kemudian mendapati suspek tidak sedarkan diri dan terbaring di bahagian tempat duduk penumpang sebelah kiri.

Suspek disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang datang ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut polis merampas dadah disyaki syabu seberat 7.45 gram bernilai RM1,490, dua (pedang) samurai dan Perodua Viva itu.

“Suspek, warga tempatan berusia 28 tahun dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah narkotik dan komersial,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba bunuh dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan pengedaran dadah. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *