60% Bekalan Air Sabah Kategori Tidak Terhasil, Kata Timbalan KM

Shahelmey Yahya berkata, kerajaan negeri sedang berusaha mengurangkan peratusan kategori air tidak terhasil yang mencapai 60% ketika ini.

KOTA KINABALU: Sebanyak 60% bekalan air di Sabah dalam kategori air tidak terhasil (NRW) yang merugikan sumber air negeri ini, kata Timbalan Ketua Menterinya, Shahelmey Yahya.

Menteri kerja raya Sabah itu berkata, pihaknya, terutama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedang berusaha mengurangkan peratusan itu dengan melaksanakan beberapa langkah, termasuk meningkatkan keberkesanan sistem bekalan.

Katanya, mengatasi NRW antara langkah penting sedang dilaksanakan pihaknya dalam memastikan sistem bekalan air di Sabah dapat memenuhi permintaan rakyat, dan mengatasi masalah bekalan air yang sedang melanda.

“Cabaran kita jumlah permintaan tinggi, tetapi ada pula kes NRW, antaranya disebabkan kecurian air yang memerlukan penguatkuasaan, kita juga alami cabaran tenaga kerja dan keberkesanan sistem (bekalan air), perlu mekanisme dan gerakan bersepadu untuk tangani masalah tersebut.

“Kita sedang pulihkan bekalan air, JANS sedang buat tambah baik, antaranya kurangkan NRW ke peratusan lebih rendah, jika kita dapat lakukan menjelang hujung tahun ini, bekalan air lebih baik dapat dinikmati pengguna,” katanya selepas Majlis Iftar Ramadan dan Pemberian Sumbangan Kepada Asnaf Serta Anak Yatim melibatkan kira-kira 100 penerima di sini, malam tadi.

Januari lalu, Shahelmy dilaporkan berkata, JANS menyasarkan mengurangkan NRW, yang ketika itu 54%, sebanyak 25% atau 10 juta liter air menjelang pertengahan tahun ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *