Syarat Dan Cara Memohon Pinjaman KWSP

Permohonan FSA2 yang dibuka bermula 7 April ini hanya melibatkan fasa pertama, khusus untuk ahli KWSP berumur 40 tahun ke atas. – Foto Hiasan

BERMULA 7 April ini, ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memenuhi syarat boleh memohon inisiatif pembiayaan peribadi yang dikenali sebagai Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) KWSP. 

FSA2 merupakan kemudahan untuk membantu ahli KWSP memohon pembiayaan peribadi dengan jumlah maksimum RM50,000 menggunakan permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun.

Syarat permohonan

Kemudahan itu terbuka untuk semua ahli KWSP yang belum mencapai umur 55 tahun. Namun, permohonan yang dibuka bermula 7 April ini hanya melibatkan fasa pertama, khusus untuk ahli berumur 40 tahun ke atas.

Setiap ahli hanya dibenarkan membuat permohonan sekali sahaja dan permohonan tersebut tidak boleh dibatalkan setelah diluluskan. 

Menurut KWSP, jika terdapat lebih daripada satu permohonan oleh seorang ahli, pihaknya akan meluluskan permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun yang pertama diterima daripada ahli.

Simpanan minimum

Ahli juga perlu mempunyai jumlah simpanan minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP dan jumlah maksimum bagi pengeluaran bersyarat ialah RM50,000.

Permohonan akan dibuka dalam tempoh setahun selepas tarikh pelaksanaan (7 April untuk fasa satu). Selain itu, pemohon juga perlu memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan oleh institusi perbankan.

Menurut KWSP, ahlI juga hendaklah menjalani Penilaian Kesedaran Kewangan dengan institusi perbankan sebelum membuat keputusan untuk mengambil pembiayaan peribadi.

Dalam tempoh pembiayaan itu juga, ahli boleh mendapatkan perundingan lanjut melalui perkhidmatan Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) atau perunding kewangan bank, jika perlu.

Walaupun pemohon telah memenuhi syarat-syarat kelayakan awal, permohonannya masih berisiko ditolak. 

Ini disebabkan pembiayaan peribadinya tidak diluluskan oleh institusi perbankan kerana tidak menepati terma dan syarat yang ditetapkan atau baki simpanan dalam Akaun 2 kurang daripada amaun pembiayaan peribadi dengan institusi perbankan.

Institusi terlibat

Setakat 30 Mac, hanya dua institusi perbankan yang terlibat dengan FSA2, iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Cara permohonan

Ahli KWSP perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian. Terdapat tiga langkah utama yang perlu dilakukan, iaitu:

  • Membuat semakan awal kelayakan dalam Akaun 2 KWSP melalui portal KWSP atau portal institusi perbankan yang mengambil bahagian.
  • Membuat permohonan pembiayaan peribadi melalui portal institusi perbankan mengikut syarat dan terma yang dipersetujui dengan institusi perbankan.
  • Membuat permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP melalui portal institusi perbankan berdasarkan jumlah pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan.

Jumlah kelayakan awal permohonan melalui Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun adalah berdasarkan jumlah simpanan dalam Akaun 2 yang ditolak dengan sebarang jumlah pengeluaran yang belum diluluskan. Ini termasuk pengeluaran pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Berikut merupakan ilustrasi kelayakan pengeluaran:

Bagi menyemak jumlah simpanan Akaun 2 KWSP sebelum membuat permohonan pembiayaan peribadi, ahli boleh menggunakan aplikasi mudah alih i-Akaun atau Terminat Layan Diri (SST) di mana-mana cawangan KWSP.

Kemas kini maklumat

Untuk membuat permohonan Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun pula, ahli perlu mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit bagi tujuan penghantaran Kod Pemberikuasaan Transaksi (TAC) oleh KWSP bagi mengesahkan identiti ketika melakukan transaksi.

Kemudian, permohonan Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun boleh dibuat secara dalam talian melalui portal institusi perbankan yang mengambil bahagian.

Seterusnya, ahli akan menerima notis makluman status permohonan pembiayaan peribadi daripada pihak institusi perbankan melalui SMS dan status permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun daripada KWSP melalui Secured Inbox i-Akaun. – RELEVAN

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *