Nyahklasifikasi Laporan Double Six: Puji Pihak Yang Sepatutnya, Kata Leiking

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking (kiri) berkata, rakyat akan lupa bahawa bekas ketua menteri Harris Salleh yang memohon kepada mahkamah agar laporan nahas Double Six didedahkan.

KOTA KINABALU : Bekas ketua menteri Sabah Harris Salleh ialah individu yang patut dipuji berikutan keputusan kerajaan menyahklasifikasi laporan mengenai nahas pesawat pada 1976 yang mengorbankan beberapa pemimpin Sabah, kata bekas Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking.

Nahas yang digelar “tragedi Double Six” itu meragut nyawa ketua menteri Sabah ketika itu, Fuad Stephens, dan 10 individu lain.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menyahklasifikasi laporan itu, yang diletakkan bawah Akta Rahsia Rasmi. Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkannya minggu depan.

Leiking berkata, kerajaan hanya melaksanakan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bulan lepas yang memaksa Putrajaya mendedahkan kepada umum dokumen mengenai nahas itu. Kerajaan diberi masa hingga 8 Jun untuk mematuhinya.

Keputusan dibuat Hakim Cristopher Chin itu berikutan tuntutan mahkamah difailkan oleh Harris, yang mengambil alih jawatan ketua menteri selepas kematian Fuad, agar laporan itu dinyahklasifikasi.

“Rakyat akan lupa bahawa Harris (yang memohon kepada mahkamah agar laporan itu didedahkan). Harris harus dipuji atas permohonannya kepada Mahkamah Tinggi.

“(Rakyat) mungkin akan berterima kasih kepada Anwar Ibrahim dan yang lain, tetapi mereka lupa ini tiada kaitan dengan Jemaah Menteri. Ini keputusan mahkamah,” kata timbalan presiden Warisan itu kepada FMT.

Leiking, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri juga berkata, kerajaan persekutuan yang memberikan kuasa kepada Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan permohonan merayu keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Katanya, Jabatan Peguam Negara tidak menarik balik permohonan rayuan itu, tetapi beliau menjangkakan ia akan dilakukan berikutan pengumuman Anwar.

Leiking menyifatkan langkah kerajaan sebagai “perkara bagus” yang akan membawa kelegaan kepada semua pihak yang ingin tahu kebenaran tentang tragedi itu.

Beliau berkata, langkah seterusnya adalah untuk Kementerian Dalam Negeri menarik balik larangan ke atas buku tulisan Bernard Sta Maria bertajuk “The Golden Son of the Kadazan”, mengisahkan tentang ahli politik Kadazan Peter Mojuntin, yang turut terkorban dalam tragedi Double Six .

Buku yang telah diharamkan selama hampir 50 tahun itu mengisahkan apa yang berlaku pada tahun-tahun sebelum pesawat itu terhempas.

“Tiada sebab untuk mengharamkannya lagi. Jika (kerajaan) akan menyahklasifikasi laporan yang telah ‘disembunyikan’ sejak 1978, mengapa tidak tarik balik larangan ke atas (buku itu)?” kata Leiking.

Walaupun terlarang, buku itu boleh didapati dalam bentuk digital di Internet dan dikongsi secara percuma di media sosial. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *