Nak Lindungi Rakyat, Punca Tak Benar Keluar KWSP Bersasar, Kata Rafizi

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata tindakan kerajaan sebaliknya untuk menambahkan lagi caruman dan simpanan hari tua pencarum.

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempunyai tanggungjawab melindungi rakyat terutamanya golongan berisiko seperti pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk hari tua.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, berkata oleh sebab itu kerajaan tidak membenarkan permohonan mengeluarkan caruman KWSP secara bersasar.

Beliau berkata walaupun tuntutan ini jika dibenarkan boleh dilihat sebagai satu program kerajaan yang sebenarnya tidak melibatkan wang atau usaha kerajaan, tetapi akan mengurangkan simpanan hari tua daripada caruman rakyat sendiri.

“Apabila dana KWSP menyusut, ini akan mengehadkan keupayaan KWSP untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik.

“Ini akan membawa kesan kepada pencarum-pencarum lain walaupun mereka tidak mengeluarkan caruman KWSP kerana jika pulangan secara keseluruhannya rendah, maka pencarum-pencarum lain pun akan turut menanggung kesan itu,” katanya menerusi hantaran video di Instagram.

Rafizi berkata, tindakan kerajaan sebaliknya ialah untuk menambahkan lagi caruman dan simpanan hari tua kepada pencarum dan bukannya membenarkan pengeluaran seperti yang dituntut segelintir pencarum.

“Oleh sebab itu kerajaan memilih jalan yang memberi kebaikan kepada semua pihak, bukan memilih jalan singkat yang akan meninggalkan masalah kepada pemimpin lain pada masa hadapan untuk diselesaikan,” katanya.

Rafizi berkata demikian mengulas tindakan Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas tidak berpuas hati apabila permintaan untuk membahaskan isu pengeluaran KWSP bersasar ditolak pada permulaan persidangan Dewan Rakyat, pagi tadi. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *