Harga Siling Ayam, Telur Kekal Hingga Selepas Aidilfitri, Kata Menteri

Salahuddin Ayub pihaknya mesti memastikan bekalan ayam dan telur mencukupi ketika Syawal kerana masih ada yang anjurkan rumah terbuka termasuk jabatan ataupun agensi kerajaan.

KUALA LUMPUR : Harga siling ayam dan telur akan kekal selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub.

Salahuddin Ayub, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penggunaan bahan asas itu dalam kuantiti yang banyak sepanjang Ramadan dan Syawal nanti, lapor Berita Harian.

Katanya, hasil libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) juga memberi jaminan telur dan ayam dijual pada harga siling ditetapkan.

“Kita telah putuskan dalam Jemaah Menteri supaya semasa Ramadan, hari raya dan juga selepas hari raya (harga siling ayam dan telur dikekalkan).

“Ini kerana hari raya ini istimewa dan ia bukan disambut dua hari, tetapi sebulan,” katanya selepas merasmikan Jualan Rahmah Pasaraya Hwa Tai di Pandan, Johor Bahru.

Menurutnya, pihaknya mesti memastikan bekalan mencukupi ketika Syawal kerana masih ada yang anjurkan rumah terbuka termasuk jabatan ataupun agensi kerajaan.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga siling runcit semasa bagi ayam standard adalah RM9.40 sekilogram, manakala harga siling runcit telur bagi Gred A pada 45 sen sebiji, Gred B (43 sen sebiji) dan Gred C (41 sen sebiji) masing-masing di Semenanjung.

Sementara Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum kedua-dua makanan itu adalah berbeza mengikut zon dan daerah.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *