Anggota Komando VAT 69 Masih Marah, Sedih, Terkenang Tragedi Lahad Datu

Antara Feb dan April 2013, perairan negara diceroboh pengganas bersenjata Sulu, membawa kepada pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah yang mengorbankan 10 perwira negara.

KUALA LUMPUR: Biarpun peristiwa berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah sudah 10 tahun berlalu, namun perasaan sedih, marah dan dendam masih dirasai Mohd Qaiyum A’iqal Zolkipli yang terlibat dalam misi Op Daulat.

Mohd Qaiyum, anggota Komando VAT 69, sukar menerima kenyataan kehilangan dua rakan seperjuangan dalam kejadian itu, iaitu Zulkifli Mamat dan Sabaruddin Daud, yang terkorban dalam operasi memerangi pengganas Sulu pada awal 2013.

“Semasa saya bersama pasukan sedang bertempur di Tanduo, Lahad Datu, tiba-tiba kami dimaklumkan ada anggota yang tumbang, iaitu kedua-dua arwah Zulkifli dan Sabaruddin.

“Apabila dapat tahu kedua-dua rakan seperjuangan sudah tiada, saya jadi bersemangat, marah dan geram terhadap pengganas Sulu,” katanya baru-baru ini.

Mohd Qaiyum, yang masih berkhidmat dalam pasukan polis di Cawangan Kem Komandan 69 Komando di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak berkata, beliau turut cedera di bahu kanan terkena tembakan musuh ketika dalam pertempuran berkenaan.

Mengenai kenangan bersama Allahyarham Zulkifli, Mohd Qaiyum berkata, mereka berdua memang rapat, selain mempunyai hobi sama, iaitu suka kepada motosikal berkuasa tinggi.

“Kenangan yang masih segar dalam ingatan saya sehingga kini adalah sebelum kami berlepas ke Sabah di KLIA, arwah (Zulkifli) ada pesan dan berjanji akan pulang sekali selepas tamat Op Daulat.

“Dia cakap begini: ‘Qaiyum nanti kita balik sama-sama ya’ dan dia peluk saya selepas itu. Kami naik penerbangan sekali dan arwah banyak bercerita mengenai motosikal berkuasa tinggi, saya pun minat dengan motor besar ini,” katanya.

Beliau berkata, sewaktu pantomim peristiwa Lahad Datu sempena Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini baru-baru ini, sememangnya beliau amat terkenangkan arwah Zulkifli dan Sabaruddin.

“Apabila pantomim dilakonkan kembali, begitulah keadaan sebenar yang berlaku di Lahad Datu, dan setiap kali pantomim dimainkan, suara arwah Zulkifli masih terngiang-ngiang dalam ingatan saya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam Op Daulat, Mohd Qaiyum berkata, ia misi pertama disertainya selepas tamat latihan khas komando.

“Waktu itu, saya baru habis latihan asas komando dan pada masa sama berlaku insiden pencerobohan Lahad Datu,” katanya.

“Saya tahu operasi (Op Daulat) ini operasi yang besar dan perlu digalas kerana melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Antara tugas saya adalah perlu menjejak bilangan dan mengetahui kekuatan musuh seperti senjata apa yang dipakai musuh, kubu dan kedudukan musuh,” katanya.

Pada Feb 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu ke atas perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu, yang membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo.

Peristiwa ini mengorbankan 10 perwira negara dan 68 pengganas Sulu.

Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *