Pemandu Lori Kayu Balak Maut Dalam Kemalangan Di Jalan Kalabakan

Keadaan lori kayu balak yang terbabas sejauh 66 meter sehingga menyebabkan pemandunya terbunuh di Jalan Kalabakan-Maliau Basin, Tawau Sabah.

TAWAU, 28 MAC : Seorang pemandu lori membawa muatan kayu balak maut selepas lori dipandunya hilang kawalan hingga masuk ke laluan bertentangan sebelum tergelincir ke bahu jalan dan terbabas sejauh 66 meter di Jalan Kalabakan-Maliau Basin.

Ketua Polis Daerah, ACP Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.05 pagi di KM136 Jalan Kalabakan-Maliau Basin, mangsa yang terbunuh seorang lelaki berumur 33 tahun dari arah Kalabakan-Serudung menuju ke Ladang Berantian.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa sedang dalam perjalanan bagi menghantar kayu balak sebelum terlibat dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jasmin berkata, akibat kemalangan itu mangsa yang bersendirian telah tercampak keluar melalui cermin hadapan yang pecah.

“Mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dengan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *