‘Wakil Rakyat Ada Hak Untuk Tukar Kerajaan’ – Dr Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan Ahli Parlimen berhak menarik sokongan sekiranya tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan sedia ada.

Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan, tindakan berkenaan tidak melanggar undang-undang.

“Saya berpendapat kalau satu kerajaan itu tidak mentadbir dengan baik, ahli-ahli partinya sepatutnya jatuhkan kerajaan itu dan pilih yang lain seperti mana yang berlaku di waktu Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) jadi Perdana Menteri.

“Nampak pada masa itu UMNO tidak puas hati, UMNO tarik sokongan dan Muhyiddin jatuh dan diganti orang UMNO.

“Jadi wakil rakyat memang ada hak untuk menukar kerajaan dan ini tidak melanggar apa-apa undang-undang,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan hari ini mampu kekal hingga tamat tempoh penggal pentadbiran.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, tidak ada jaminan bahawa mana-mana calon dipilih sebagai Perdana Menteri tidak akan menyalahgunakan kuasa.

“Masalah yang kita lihat adalah (bila) kita pilih satu orang jadi Perdana Menteri, sebelum jadi cukup baik.. anak orang yang baik, bila jadi saja Perdana Menteri salah guna kuasa. Jadi nak jamin ada calon yang tidak akan berbuat demikian adalah sukar.

“Yang utama kalau ada satu kumpulan yang mendukung cara pemerintahan yang baik dan kalau kumpulan itu menang, mereka boleh pilih siapa untuk jadi Perdana Menteri, kerana terpulang kepada mereka juga kalau orang pilihan itu tidak melakukan kerja seperti diharapkan, maka kumpulan itu boleh jatuhkan orang itu,” katanya.

Dr Mahathir juga tidak yakin kerajaan hari ini boleh membela nasib orang Melayu di tanah air sendiri.

“Saya tidak yakin sama sekali, sebab dia (kerajaan) berpendapat bahawa dia tidak ada masalah khusus bagi orang Melayu saja, sebaliknya semua masalah bersama sebagai negara berbilang kaum.

“Sebuah negara berbilang kaum ini bukanlah yang terdapat dalam Perlembagaan kita, Perlembagaan menyebut bahawa Tanah Melayu ini milik orang Melayu dan orang Melayu adalah orang asli kepada negara ini.

“Tetapi sekarang ini, orang Melayu tidak boleh dakwa Malaysia ini negara orang Melayu sebaliknya ia negara semua kaum dan sesiapa yang bercakap berkenaan orang bukan Melayu itu adalah satu hasutan.. anti kaum lain atau anti berbilang kaum,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *