Kereta Masuk Sungai, Lelaki Dikhuatiri Lemas Cuba Selamat Anak

Polis memeriksa keadaan Perodua Myvi milik mangsa yang terjatuh ke sungai Kampung Imbahan, Putatan.

PUTATAN : Lelaki dikhuatiri lemas ketika menyelamatkan anaknya berusia lima tahun yang terperangkap dalam kereta yang terjatuh ke dalam sungai dekat Kampung Imbahan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, Lasibi Lawahidu, 40-an, dikatakan terjun ke dalam sungai terbabit selepas Perodua Myvi yang dinaiki anaknya, Mushab Umair Lasibi, 5, secara tiba-tiba bergerak, lalu terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika ditemui di lokasi berkata, difahamkan sebelum kejadian, mangsa berada di tebing dan sedang memancing, manakala anaknya berada di dalam kenderaan yang diletakkan berhampiran dalam keadaan enjin dihidupkan.

Bagaimanapun, katanya, kenderaan terbabit tiba-tiba bergerak sebelum jatuh ke dalam sungai dan mangsa terjun untuk menyelamatkan anaknya.

“Mangsa dikatakan sempat mengeluarkan anaknya daripada kenderaan itu sebelum dibantu seorang lelaki yang kebetulan berada di situ untuk memancing.

“Ketika lelaki terbabit menyambut kanak-kanak itu, mangsa dikatakan tiba-tiba hilang dipercayai tenggelam,” katanya.

Anak mangsa yang diselamatkan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.53 petang.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kota Kinabalu.

“Setakat 11 malam, mangsa masih belum ditemui,” katanya yang memberitahu operasi akan bersambung esok.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *