Tindakan ‘Buang Kerja’ Menanti Kakitangan Imigresen Terbabit Sindiket Seludup PATI

Sembilan individu termasuk lima pegawai Jabatan Imigresen Malaysia direman enam hari mulai semalam, bagi membantu siasatan SPRM. –

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung pembabitan lima pegawainya di Sabah yang ditahan pada Khamis lalu kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata pihaknya memberikan kerjasama penuh dengan telus dan adil bagi membolehkan SPRM menyiasat kegiatan itu.

Beliau berkata, jabatan itu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang melanggar integriti hingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta tidak akan melindungi mereka yang terbabit dalam aktiviti sedemikian.

Katanya, tindakan dan hukuman yang serius akan diambil termasuk buang kerja, sekiranya pegawai terbabit terbukti bersalah.

“Jabatan ini serius dan komited dalam memastikan integriti pegawai dan sentiasa berada pada tahap yang maksimum,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan, lima pegawai imigresen berusia 30 hingga 41 tahun itu terdiri tiga wanita dan dua lelaki, yang di Lapangan Terbang Tawau (LTT) ditahan di antara jam 2 petang hingga 9 malam dalam Ops Lancar oleh SPRM.

Empat lagi individu awam disyaki ejen masing-masing ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sekitar daerah Tawau antara jam 3 hingga 5 petang hari yang sama

Ruslin berkata, jabatan itu sudah mengadakan pelbagai program bagi menerapkan nilai integriti tinggi dalam kalangan pegawainya.

Katanya, selain itu jabatan juga sentiasa bekerjasama dengan agensi lain termasuk SPRM, dalam usaha memerangi penyeludupan migran. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *