Perkenal Kad Diskaun Pelajar Untuk Penerbangan Ke Sabah, Sarawak, Kerajaan Diberitahu

Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis membangkitkan harga tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak yang mahal ketika musim cuti.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang memperkenal kad diskaun pelajar institusi awam dan swasta untuk penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dalam usaha meringankan beban mereka yang berdepan kadar tiket mahal.

Cadangan itu disuarakan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang berkata, kerajaan boleh memberikan diskaun bagi dua kali perjalanan untuk pelajar dalam tempoh setahun.

“Kad pelajar ini boleh digunakan sebagai kad diskaun, contoh dalam setahun mereka boleh guna kad pelajar untuk ke Sabah, Sarawak dari Semenanjung, atau dari Sabah, Sarawak ke Semenanjung,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Isnaraissah sebelum itu membangkitkan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang tinggi ketika musim cuti sekolah baru-baru ini sehingga mencecah RM1,000 bagi perjalanan sehala.

“Jadi pada saya, musim cuti sekolah sepatutnya kita ambil kesempatan mengeratkan tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Musim cuti sekolah tidak seharusnya dijadikan alasan syarikat penerbangan menaikkan harga penerbangan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan status terkini hasrat kerajaan untuk mengambil kembali ruang udara di selatan Semenanjung, yang sebelum ini diletakkan bawah jagaan Singapura sejak 1974.

“Ia menjadi salah satu faktor menyumbang kepada kos peningkatan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur.

“Soalan saya, apakah status terkini proses pengambilalihan ini dan apakah fasiliti dan kepakaran kita sudah sedia dan mencukupi,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *