KENINGAU : Dua orang pelajar berkeperluan khas, Nurosimah Jumat dan Brenda Ashley,18, dari Kolej Vokasional Keningau, telah mendapat hadiah pertama di festival seni secara jarak jauh yang berpangkal di Australia pada 20 Mac 2023.
Pertandingan anjuran Monolit Festival itu telah memberi pengiktirafan tersebut kepada video persembahan pasukan ini yang bertajuk “John & Ibu Sihir” dalam kategori penceritaan berilustrasi.
Nurosimah Jumat mempunyai masalah penglihatan manakala Brenda Ashley mengalami masalah pembelajaran.
Namun, ianya tidak memutuskan semangat kedua-dua pelajar ini untuk menuntut ilmu kemahiran membuat pakaian dari kolej ini.
Pasukan pelajar ini telah menggunakan kad cerita yang rawak sebagai asas penulisan karya asli mereka ini dengan menyerapkan unsur fantasi dan dongeng melalui watak ahli sihir.
Mereka telah berjaya menulis dan menyampaikan cerita tersebut dalam Bahasa Melayu yang disertakan dengan sari kata dalam Bahasa Inggeris.
Ianya menceritakan seorang lelaki bernama John yang terkejut melihat seorang ahli sihir bersama adiknya di rumah mereka apabila dia balik dari tempat kerjanya.
Walaupun ahli sihir itu berkelakuan baik dan memberi mereka penyapu ajaib namun dia kekal curiga dengan niat sebenar ahli sihir tersebut.
Nurosimah Jumat dan Brenda Ashley merupakan pelajar jurusan pembuatan pakaian di kolej itu dan mereka berdua baru sahaja menduduki peperiksaan hujung tahun.
Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Christine Stanislaus Kinsik, memuji usaha pelajar-pelajar ini yang cekal mengasah bakat mereka yang wajar dijadikan amalan untuk membuka lebih banyak peluang kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas.