‘Nak Rasa Pengalaman Di Bulan Pandulah Kereta Di Sabah’, Kata MP Tuaran

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Sabah menarik perhatian Dewan Rakyat apabila secara berseloroh menyarankan rakyat yang mahu merasai pengalaman seorang angkasawan berada di bulan boleh ke negeri itu dengan memandu sendiri kenderaan.

Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) membangkitkan perkara itu ketika meluahkan rasa tidak puas dengan keadaan jalan raya di Sabah yang tidak diselenggara dengan baik apabila permukaannya berlubang-lubang.

“Sekiranya ada yang ingin menjadi angkasawan, jangan risau semua kini jadi lebih mudah. Anda hanya perlu datang sendiri dan memandu kereta di Sabah, pengalamannya sama seperti berada di permukaan bulan dengan jalan raya berlubang tepi, kiri, kanan dan belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya.

Madius berkata, jalan raya yang rosak bukan sahaja membahayakan nyawa pengguna malah menyebabkan kesesakan di negeri itu.

“Kesesakan di sepanjang jalan Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau, Telupid dan Sandakan sudah berkali-kali disuarakan di Dewan Rakyat, disebabkan jalan tersebut mengalami banyak kerosakan, jalan berlubang dan sehingga pada suatu ketika di Tuaran lebih dari lima kereta tersadai kerana tayar pecah dan rim bengkok,” katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa jalan itu tidak mempunyai daya tahan tinggi memandangkan ia membabitkan jalan raya persekutuan.

Projek Pan Borneo punca banjir Sabah

Dalam ucapannya, Madius juga mendakwa sejak projek Lebuh Raya Pan Borneo dijalankan, ia menyebabkan masalah banjir sambil meminta kerajaan membentangkan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) membabitkan projek itu.

“Saya boleh katakan rakyat Sabah tak puas hati dengan pencapaian pelaksanaan projek Pan Borneo, banyak kesan sampingan berlaku seperti banjir mengakibatkan banyak kerosakan harta benda.

“Apakah laporan EIA dibuat untuk projek ini dan apakah laporan itu hanya satu laporan sepanjang jajaran 2,239km lebuh raya tersebut atau EIA dipecah mengikut pakej perjalanan projek, kalau betul berapa bilangan laporan EIA dilakukan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *