Semua Kenderaan Perdagangan Beroperasi Di Sabah Wajib Pasang GPS

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, 17 Mac : Semua kenderaan perdagangan Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan serta mana-mana kenderaan perdagangan dari luar yang ingin beroperasi di negeri itu diwajibkan memasang alat Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).

Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP) dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan peraturan itu dibuat secara berperingkat dengan fasa pertama bermula Rabu lepas (15 Mac) apabila semua pemegang lesen bas ekspres, lesen pembawa A dan C diwajibkan memasang alat tersebut.

Katanya pelaksanaan peraturan itu adalah sejajar dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia bagi memastikan kenderaan perdagangan mematuhi tahap keselamatan serta peraturan yang ditetapkan.

“Perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Anggota Lembaga LPKP Sabah pada 27 Feb lalu serta Seksyen 19(2), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah yang mana peraturan ini terpakai kepada semua jenis urusan permohonan baharu, memperbaharui, permohonan semula serta ubah syarat lesen kenderaan perdagangan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, bagi pelesen yang ingin memasang GPS pada kenderaan mereka, pemasangan hendaklah dibuat oleh syarikat yang diperakui oleh mesyuarat anggota lembaga LPKP Sabah, yang boleh disemak menerusi laman sesawang LPKP Sabah.

Bagaimanapun, katanya LPKP Sabah boleh membenarkan mana-mana pelesen yang telah memasang atau ingin memasang alat GPS daripada syarikat yang tidak disenaraikan, dengan syarat memenuhi parameter yang ditetapkan oleh LPKP Sabah.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang LPKP Sabah www.lpkpsabah.gov.my. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *